Galeri Foto:

AHLI SILAP MATA PROFESIONAL PERTAMA KELANTAN

Silap mata atau sihir merupakan dua perkara yang sangat berlainan sama sekali, kerana silap mata adalah suatu seni luar biasa, misteri dan penuh rahsia yang memerlukan pengorbanan masa untuk
latihan dan kewangan yang banyak untuk mempelajarinya. Seorang ahli silap mata perlu mahir didalam setiap ilmu yang dipelajari, sebelum ianya boleh dipersembahkan kepada umum. Berlainan pula dengan sihir, dimana ia bergantung serta berkait rapat dengan alam ghaib dan juga mahkluk halus seperti Jin, secara terang-terangan dan ianya menyalahi ajaran agama Islam.

Persembahan seorang ahli silap mata lebih menjurus kepada kemahiran individu tersebut untuk memanipulasi pemikiran serta penglihatan penonton supaya mempercayai sesuatu yang luar biasa dan melanggar logik akal penonton tersebut semasa ianya dipersembahkan. Perkembagan sains dan teknologi juga banyak mempengaruhi perkembangan seni silap mata pada alaf ini, dahulunya seni ini banyak dipersembahkan di luar negara dan dipopularkan oleh ahli silap mata antarabangsa seperti Harry Houdini, David Copperfield, David Blaine dan ramai lagi.

Minat  dan semangat yang tinggi dalam dunia silap mata serta menyahut seruan Malaysia boleh menjadi kunci utama kepada seorang individu berasal dari negeri Kelantan yang bernama Nik Mohd Shahrizal Sudin, 30 tahun atau lebih dikenali dengan panggilan Jamagic memilih pekerjaan ini secara sepenuh masa.

Pada umur 7 tahun, beliau sudah mula menunjukkan minat dalam seni silap mata ini, selepas menyaksikan persembahan silap mata dari bapanya Sudin Harun yang pada ketika itu merupakan seorang guru sekolah. Minatnya untuk mendalami seni ini bertambah, apabila menonton rancangan silap mata di televisyen oleh David Copperfield seorang ahli silap mata terkenal Amerika. 

Beliau mula mempelajari silap mata melalui buku yang diperolehi secara percuma selepas membeli beberapa jilid buku pembelajaran disekolah, beliau juga aktif disekolah terutamanya dalam bidang seni persembahan sehingga ke sekolah menengah.
Beliau juga merupakan seorang siswazah dalam jurusan Multimedia di sebuah Universiti tempatan, semasa disana beliau sempat berguru dengan 2 orang individu berbangsa cina yang berasal dari Kuala Lumpur dan Singapura, secara senyap -senyap dan tanpa pengetahuan ahli keluarganya di Kelantan.

Pada awal kemunculan beliau dalam dunia persembahan, beliau hanya membuat pertunjukkan secara sambilan sahaja, kerana pada waktu itu beliau telah bekerja disebuah syarikat swasta. Namun diatas semangat tinggi ingin menjadikan seni silap mata ini sebagai kerjaya, menyebabkan beliau meletakkan jawatan dan meneruskan kerja sebagai seorang ahli silap mata dengan sepenuh masa. Ilusi yang mampu dilakukan oleh beliau antaranya seperti menghilangkan objek yang besar dipentas, membuat ramalan tajuk utama akhbar, memunculkan burung merpati, mengapungkan objek, memotong dua badan pembantunya dan pelbagai lagi ilusi serta aksi yang luar biasa dapat di visualkan kepada penonton.

Kemahiran beliau dalam seni ini, sangat luas dimana beliau mampu merealisasikan pelbagai ilusi atau silap mata hebat setaraf dengan ahli silap mata antarabangsa yang lain.

Beliau juga telah menyertai pelbagai organisasi dan persatuan silap mata di seluruh dunia, beliau telah mengeluar dan memasarkan produk sendiri bertujuan untuk melahirkan lebih ramai lagi ahli silap mata tempatan, antara produk yang dipasarkan seperti peralatan silap mata, video tutorial atas talian, e-buku belajar silap, DVD yang dijual dilaman sesawang dan beliau juga telah menghasilkan 2 aplikasi silap mata untuk telefon pintar, seterusnya menjadikan beliau ahli silap mata pertama Malaysia menghasilkan aplikasi tersebut.

Pelbagai cabaran harus diharungi oleh beliau untuk mencapai sesuatu yang diimpikan, impian menjadi ahli silap mata profesional pertama Kelantan, kini semakin hampir dimana beliau telah berjaya menghasilkan persembahan silap mata beliau sendiri dan beliau juga banyak dijemput untuk membuat persembahan silap mata di luar dan dalam negara, beliau pernah menjadi artis undangan disebuah stesen televisyen tempatan dan juga di salah sebuah tempat peranginan terkenal di Malaysia. Beliau juga aktif dalam persembahan amal terutamanya untuk anak-anak yatim dan kanak-kanak istimewa, ini juga sebagai tanda penghargaan beliau kepada peminat cilik seni silap mata tempatan dan meringankan sedikit kesedihan serta memberi senyuman kegembiraan buat mereka semua.

Beliau sentiasa rajin dan tekun mengkaji dan menyediakan persembahan silap mata supaya sentiasa baharu, segar dan mengikut jiwa para penonton. Walaubagaimanapun, setiap tempat persembahan mempunyai garis panduan atau peraturan persembahan tersendiri, begitu juga di negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu Kelantan. Para pengiat seni disini wajib mematuhi segala peraturan atau undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan mestilah tidak bercanggah dengan hukum agama Islam, penghibur juga perlu sentiasa menjaga perilaku serta tidak terpesong dari peraturan tersebut didalam setiap persembahan yang dilakukan.

Mungkin ada sesetengah pengiat seni persembahan disini, menganggap ianya suatu cabaran pada mulanya,bagi beliau peraturan tersebut ada baiknya, dimana ia dapat mengajar dan mencabar minda pengiat seni atau penghibur seperti beliau supaya lebih kreatif untuk mengolah supaya persembahan sentiasa mengikut garis panduan dan tetap menarik serta menghiburkan.

Jamagic Entertainment yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan adalah syarikat yang telah ditubuhkan oleh beliau sendiri, dimana syarikat ini menyediakan pelbagai perkhidmatan menarik sebagai hiburan alternatif seperti badut, maskot, dekorasi belon, sistem audio serta banyak lagi dan syarikat ini juga menguruskan pelbagai jenis majlis dari yang berskala kecil sehingga majlis yang melibatkan tetamu terhormat.

Dengan wujudnya syarikat seperti ini khusunya di Kelantan, maka akan dapat mencungkil dan melahirkan lebih ramai lagi bakat baharu yang mempunyai bakat luar biasa.
Oleh itu, tidak salah sekiranya seseorang individu mempunyai impian atau cita-cita yang luar biasa dan kadang-kadang tidak masuk akal, asalkan ianya jelas dan mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri, keluarga, dan negara.














Fan page(FB) https://www.facebook.com/jamagicmalaysia

Galeri Video: